Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA ayat kursi BERJAYA MENCAPAI 91 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

11  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0132.
Dari 'Urwah bin Zubair, katanya 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw. bercerita kepadanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Nabi saw. ialah berupa mimpi nyata waktu tidur, yang terlihat jelas oleh beliau bagaikan cahaya Subuh. Semenjak itu timbul keinginan di hati beliau hendak bersunyi diri. Kerana itu beliau pergi mengasingkan diri ke Gua Hira'. Di sana beliau beribadat beberapa malam sampai perbekalannya habis. Apabila perbekalannya telah habis, beliau pulang ke rumah Khadijah untuk mengambilnya lagi dan setelah itu beliau kembali pula ke sana. Keadaan itu berlangsung beberapa lama, sehingga pada suatu ketika beliau dikejutkan oleh kedatangan malaikat Jibril ke Gua Hira' itu. Malaikat berkata kepadanya, "Bacalah!" Jawab Nabi saw., "Aku tidak pandai membaca." Kata Nabi, "Malaikat itu serta merta merangkul ku, sehingga aku kepayahan kerananya. Kemudian aku dilepaskannya, lalu katanya: "Bacalah!" Jawab ku, "Aku tidak pandai membaca." Kerana itu aku dirangkulnya untuk kedua dan ketiga kali, sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya, lalu katanya: "Bacalah nama Tuhan mu yang mencipta. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan, Tuhan mu itu Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) menulis. Yang mengajar manusia apa yang belum diketahuinya." (AI 'Alaq: 1-5). Setelah itu Rasulullah saw. kembali pulang, membawa ayat-ayat dan pengalaman yang baru dialaminya itu dengan tubuh menggigil gemetaran. Sampai di rumah Khadijah, beliau berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Khadijah segera menyelimutinya. sehingga hilang rasa keterkejutannya. Kemudian ia berkata kepada Khadijah, "Wahai, Khadijah! " Bagaimana aku ini?" Lalu diceritakannya kepada Khadijah segala peristiwa yang baru saja dialaminya. Setelah itu beliau berkata: Aku cemas terhadap diri ku ini." Jawab Khadijah, "Jangan! Jangan cemas! Gembirakanlah hati Anda! Percayalah, Allah tidak akan menimpakan kehinaan pada diri Anda selama-lamanya. Bukankah Anda selalu bersikap ramah tamah, menghubungkan silaturrahim, selalu berbicara benar, selalu menunaikan tugas kewajipan, menyediakan yang belum ada, memuliakan tetamu, dan membela orang-orang yang kesusahan demi menegakkan kebenaran!" Kemudian Khadijah membawa beliau mendatangi Waraqah bin Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza, iaitu anak pakcik Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani sejak masa Jahiliyah. Dia pandai menyalin buku-buku ke bahasa Arab. Antara lain dia menyalin Kitab Injil ke bahasa Arab seberapa yang dapat ditulisnya. Dia pun sudah tua dan matanya telah buta. Khadijah berkata kepadanya, "Wahai anak pakcik ku! Dengarkanlah anak saudara mu ini (Muhammad) bercerita!" Jawab Waraqah bin Naufal, "Hai, anak saudara ku! Apakah gerangan yang telah engkau alami? Ceritakanlah!" Rasulullah saw. lalu menceritakan pengalaman yang baru dialaminya. Kata Waraqah, "Itu adalah malaikat (namus) Jibril a.s. yang pernah datang kepada Nabi Musa a.s., Wahai, diri ku! Kalaulah aku masih muda, Wahai, kiranya diri ku! Kalaulah aku masih hidup ketika engkau diusir oleh wargamu " Tanya Rasulullah saw., "Apakah mereka akan mengusir ku?" Jawab Waraqah, "Ya, benar! Tidak seorang pun yang datang membawa apa (ayat-ayat) yang engkau bawa itu yang tidak dimusuhi. Sekiranya aku masih mendapati hari itu, pasti aku akan membelamu sekuat-kuatnya."

12  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1851.
Dari Al Bara' r.a. katanya: "Sehubungan dengan turunnya ayat: "Tidak sama antara orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) dengan orang-orang yang turut berperang fi sabilillah: lalu Rasulullah saw. memerintahkan Zaid bin Tsabit supaya menuliskan ayat tersebut. Zaid membawa sepotong tulang, lalu menulis ayat tersebut pada tulang itu. Tiba-tiba datang Ibnu Ummi Maktum mengadukan kesulitannya tidak dapat turut berperang kerana ia buta. Maka turunlah ayat: "Tidak sama antara orang-orang mukmin yang duduk (tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad (berperang) fi sabilillah."(An Nisa', 4 : 95).

13  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0407.
Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Biasanya Nabi saw. membaca ayat pada solat Zohor kira-kira tiga puluh ayat pada tiap-tiap dua rakaat pertama, sedangkan pada dua rakaat yang akhir kira-kira lima belas ayat atau seperdua yang pertama. Dalam tiap-tiap dua rakaat pertama solat Asar beliau membaca kira-kira lima belas ayat, sedang pada dua rakaat yang akhir kira-kira seperdua itu."

14  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2377.
Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Biasanya apabila Rasulullah saw. hendak melakukan suatu perjalanan jauh, beliau mengadakan undian di antara para isteri beliau. Siapa yang menang undiannya dialah yang berhak ikut mendampingi Rasulullah saw. dalam perjalanan itu. Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengundi kami untuk ikut mendampingi beliau dalam suatu peperangan yang dipimpin beliau sendiri. Aku beruntung, kerana undian ku lah yang keluar sebagai pemenang. Kerana itu akulah yang berhak pergi bersama beliau. Peristiwa ini terjadi sesudah turunnya Ayat Hijab (lihat surat Ahzab, 33:53-59). Lalu aku dinaikkan ke dalam sebuah sekedup dan diturunkan dalam setiap perhentian (tanpa aku keluar tetapi sekedupnya yang diturun naikkan). Setelah selesai perang, Rasulullah saw. serta rombongan pulang kembali ke Madinah (membawa kemenangan). Hampir sampai ke Madinah, beliau memberi izin seluruh pasukan istirehat malam. Ketika istirehat itu, aku keluar dari sekedup dan berjalan menjauhi pasukan untuk buang hajat. Setelah selesai buang hajat aku segera kembali ke pasukan. Ketika aku menyentuh dada ku terasa kalung ku yang terbuat dari permata zhafar buatan Yaman telah putus. Kerana itu aku kembali mencari kalung ku sehingga aku terlambat kembali ke pasukan. Sedangkan para pengawal yang bertugas menjaga ku selama dalam perjalanan telah mengangkat sekedup ku dan menaikkannya ke punggung unta yang ku kenderai (tanpa memeriksa lebih dahulu apakah aku ada di dalam atau tidak) lalu mereka berangkat. Mereka menyangka bahawa aku berada dalam sekedup. Ketika itu berat badan ku sangat ringan. Sehingga kalaupun aku berada dalam sekedup, para pengawal tidak akan merasa lebih berat bila mereka mengangkat sekedup itu. Dan ketika itu aku masih merupakan wanita muda usia. Mereka terus berjalan menggiring unta ku (tanpa aku). Aku mendapatkan kalung ku kembali setelah pasukan berjalan agak jauh. Ketika aku sampai di tempat peristirahatan, ku dapati di sana telah sepi. Aku memutuskan untuk tetap menunggu di tempat ku semula. Kerana aku berpendapat, bila rombongan tidak menemukan ku tentu mereka akan kembali mencari ku. Ketika aku duduk menunggu mereka di tempat itu, aku mengantuk dan tertidur. Kebetulan Shafwan bin Mu'aththal As Sulami ketinggalan pula oleh rombongan kerana dia tertidur. Ketika terbangun dia segera menyusul mereka dan lewat di dekat tempat ku menunggu. Ketika dia terlihat sesusuk tubuh sedang tidur, dia menghampiri dan mengenali ku, dia memang sudah pernah melihat ku sebelum ayat hijab turun. Aku terbangun ketika dia dengan terkejut mengucapkan kalimah istirja' (inna lillaahi wa inna ilaihi raji'un) setelah dia mengenali ku. Dan aku segera menutup muka ku dengan jilbab (kain penutup muka). Demi Allah! Dia tidak pernah mengucapkan sepatah kalimat pun kepada ku selain kalimah istirja' yang menyebabkan aku terbangun. Dia segera menyuruh untanya menunduk, dan aku disilakannya menaiki kenderaan itu. Sedangkan dia sendiri berjalan kaki menuntun unta sampai induk pasukan tersusul oleh kami sesudah mereka berhenti berehat dari terik panas tengah hari. Tetapi sungguh celakalah orang yang sengaja membuat fitnah terhadap diri ku mengenai peristiwa itu, yang diikhtiarkan oleh pemimpin mereka 'Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah kami sampai di Madinah aku jatuh sakit sebulan lamanya. Sementara itu dalam masyarakat telah meluas khabar bohong mengenai diri ku. Sedangkan aku tidak tahu berita itu telah meluas sedemikian rupa kerana aku sedang sakit. Tetapi ada suatu hal yang membimbangkan ku, ialah sikap Rasulullah saw. yang tidak memperlihatkan kasih sayang seperti biasanya kalau aku sedang sakit. Beliau pernah datang menengok ku sekali, setelah memberi salam beliau bertanya, "Bagaimana keadaan mu?" Itulah yang membimbangkan ku. Aku tidak mengetahui sama sekali heboh mengenai diri ku, sampai pada suatu hari setelah aku agak sembuh, aku pergi bersama Ummu Misthah ke lapangan di pinggir kota untuk buang hajat. Kerana memang di sanalah tempat kami buang hajat. Dan kami tidak pergi ke sana kecuali hanya pada malam hari saja. Yang demikian itu ialah sebelum kami membuat tempat tertutup di sekitar rumah kami. Memang sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada masa dahulu, kalau buang hajat pergi ke lapangan di pinggir kota. Kerana mereka merasa jijik membuat tempat tertutup di sekitar rumah mereka. Ummu Misthah (nama aslinya Salma), ialah anak perempuan Abu Ruhma bin Muththalib bin Abdu Manaf. Sedangkan ibunya ialah anak perempuan Shakhar bin Amir bibi Abu Bakar Siddiq. Anak lelakinya ialah Misthah Ibnu Utsatsah bin Abbad bin Muththalib. Ketika kami pulang setelah selesai buang hajat, Ummu Misthah tersandung sandalnya lalu dia menyumpah: "Celaka si Misthah." katanya. Maka ku tegur dia, "Tidak baik berkata begitu. Bukanlah engkau memaki orang yang ikut dalam peperangan Badar?" Jawab Ummu Misthah, "Alangkah bodohnya engkau! Apakah engkau tidak mendengar apa yang dikatakannya?" Tanya ku, "Apa yang dikatakannya?" Dia menghabarkan kepada ku omongan tukang-tukang fitnah (yang memburuk-burukkan diri mu)." Semenjak aku mendengar berita Ummu Misthah itu, sakit ku semakin menjadi-jadi. Ketika Rasulullah saw. datang ke rumah ku, beliau memberi salam, lalu dia bertanya, "Bagaimana keadaan sakit mu?" Lalu aku bertanya kepada beliau, "Sudikah Tuan mengizinkan aku pulang ke rumah orang tua ku?" Kata 'Aisyah, "Sebenarnya aku ingin hendak menanyakan kepada orang tua ku kebenaran berita yang disampaikan Ummu Misthah kepada ku." Ternyata Rasulullah saw. mengizinkan ku, lalu aku pulang ke rumah orang tua ku dah bertanya kepada ibu ku, "Wahai ibu! Benarkah ada berita buruk yang dipercakapkan orang mengenai diri ku?" Jawab ibu, "Wahai anak ku sayang! Jangan engkau hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suaminya, padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak diomongi orang." "Subhanallah!" kata ku. "Kalau begitu, memang benarlah kiranya orang banyak mempercakapkan ku." Malam itu aku menangis semalam-malaman sampai Subuh. Air mata ku mengalir tak dapat ditahan dan aku tak dapat tidur kerananya. Sementara itu Rasulullah saw. memanggil Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid untuk bermusyawarah dengan mereka - kerana waktu itu wahyu terhenti - Beliau bermusyawarah dengan keduanya apakah beliau harus menceraikan ku atau tidak. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya, bahawa dia tahu benar para isteri Rasulullah saw. semuanya suci (setia) dan dia tahu benar mereka semuanya mencintai Rasulullah saw. Katanya, "Mereka adalah para isteri Anda. Aku yakin benar bahawa semuanya adalah para isteri yang setia." Adapun 'Ali bin Thalib berkata, "Allah Ta'ala tidak akan mempersulit Anda. Masih banyak wanita selain dia ('Aisyah). Tika Anda menghendaki seorang gadis, tidak seorang pun yang akan menolak Anda." Kemudian beliau panggil pula Barirah (pembantu rumah tangga 'Aisyah), lalu beliau bertanya, "Hai Barirah! Adakah engkau melihat sesuatu yang mencurigakan mengenai diri 'Aisyah?" Jawab Barirah, "Demi Allah yang mengutus Anda dengan agama yang benar. Sungguh, aku tidak melihat sedikit pun yang mencemarkan dirinya, selain hanya dia itu seorang wanita muda yang manja, yang pergi tidur meninggalkan adonan kuih, lalu datang haiwan peliharaan (kucing atau kambing) memakan adonan itu." Kemudian Rasulullah saw. berpidato di mimbar, menyatakan keberatannya atas tuduhan yang diprarasai Abdullah bin Ubay bin Salul." Sabda beliau di mimbar, "Hai kaum muslimin! Siapakah di antara tuan-tuan yang setuju dengan penolakan ku atas tuduhan yang telah mencemarkan nama baik keluarga ku? Demi Allah, aku yakin keluarga ku bersih dari tuduhan kotor yang tidak benar itu. Mereka juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki (Shafwan bin Mu'aththai As Sulami) yang aku yakin bahawa dia itu orang baik. Dia tidak pernah masuk ke rumah ku kecuali bersama ku." Maka berdirilah Sa'ad bin Mu'adz Al Anshari, lalu dia berkata, "Aku membela Anda dalam masalah ini, ya Rasulullah! Jika tuduhan itu datang dari suku Aus, kami penggal lehernya. Dan jika datangnya dari saudara-saudara kami suku Khazraj, kami menunggu perintah Anda. Apa yang Anda perintahkan segera kami laksanakan." Maka berdiri pula Sa'ad bin Ubadah, pemimpin suku Khazraj dan seorang yang soleh tetapi diperdayakan oleh rasa kesukuan. Lalu dia berkata kepada Sa'ad bin Mu'adz, "Engkau bohong! Demi Allah, engkau tidak boleh membunuhnya dan memang engkau tidak sanggup melakukannya." Maka bangun pula Usaid bin Hudhair, anak pakcik Sa'ad bin Mu'adz. Katanya kepada Sa'ad bin Ubadah, "Engkaulah yang bohong! Demi Allah! Bila saja dan di mana saja kami sanggup membunuhnya! Engkau munafik, kerana engkau membela orang-orang munafik!" Pertengkaran antara suku Aus dan Khazraj itu menjadi hangat, sehingga hampir terjadi perkelahian antara mereka. Tetapi Rasulullah saw. yang masih berdiri di mimbar dapat menenangkan mereka sehingga mereka diam. Kata Aisyah selanjutnya, "Sehari-harian kerja ku hanya menangis dan menangis siang malam. Sehingga kedua orang tua ku cemas, kalau-kalau jantung ku pecah kerana menangis. Selama aku menangis, kedua orang tua ku selalu berada di samping ku. Tiba-tiba seorang perempuan Ansar minta izin hendak bertemu dengan ku, lalu ku izinkan dia masuk. Setelah dia masuk, dia pun menangisi ku (menambah kesedihan ku). Sementara itu Rasulullah saw. pun datang. Beliau memberi salam, lalu duduk di samping ku. Sejak berita bohong itu tersiar, beliau tidak pernah duduk di samping ku. Dan sudah sebulan wahyu tidak turun kepada beliau. Iaitu semenjak peristiwa ku ini. Ketika beliau duduk di samping ku, mula-mula beliau membaca tasyahhud. Kemudian beliau bersabda: "Hai 'Aisyah! Telah sampai kepada ku berita mengenai diri mu begini dan begitu. Jika engkau bersih dari tuduhan itu maka Allah Ta'ala akan membebaskanmu. Jika engkau memang berdosa, Minta ampunlah kepada Allah Ta'ala dan taubatlah kepadaNya. Kerana apabila seorang hamba sadar bahawa dia telah berdosa, kemudian dia taubat, nescaya Allah menerima taubatnya." Setelah ucapan beliau itu selesai diucapkannya, air mata ku mengambang dan tak tertahankan oleh ku dia jatuh berderai. Aku berkata kepada bapa ku. "Pak, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah." Jawab bapa ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku ucapkan kepada Rasulullah." Kemudian ku minta ibu ku, "Ibu, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah sebentar ini." Jawab ibu ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku katakan kepada Rasulullah." Maka terpaksalah aku sendiri yang harus menjawabnya. Kata ku, "Aku ini adalah seorang wanita muda usia yang belum banyak mengetahui isi Al Quran. Demi Allah! Sekarang aku telah tahu bahawa Anda telah mendengar berita mengenai tuduhan terhadap diri ku, sehingga tuduhan itu tertanam dalam diri Anda dan nampaknya Anda seperti membenarkan berita itu. Walaupun aku mengatakan kepada Anda aku bersih dari tuduhan itu - demi Allah, hanya Allah sajalah yang maha tahu bahawa aku memang bersih Anda tentu tidak akan mempercayai ku juga. Dan seandainya aku mengatakan bahawa aku telah bersalah dan berbuat dosa, - demi Allah, Dia jugalah yang Maha Tahu bahawa aku bersih lentil Anda akan mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak memperoleh sebuah contoh pun yang paling tepat mengenai peristiwa ini, selain ucapan yang diucapkan Nabi Ya'qub, bapa Nabi Yusuf, katanya : Sabar jualah yang paling indah, dan hanya Allah sajalah tempat minta tolong atas segala tuduhan yang dituduhkan mereka." Kemudian aku berpaling dan berbaring di tempat tidur ku. Kata 'Aisyah selanjutnya, "Demi Allah! Aku benar-benar bersih dari tuduhan itu, dan aku yakin bahawa Allah Ta'ala akan membersihkan nama baik ku dari tuduhan itu. Namun sejauh itu demi Allah, aku tidak menduga sama sekali bahawa Allah akan menurunkan wahyu dalam kaitannya dengan kes yang sedang ku hadapi ini. Sehingga akhirnya wahyu itu selalu kita baca. Kerana kes itu sangat cemar terasa oleh ku dibanding dengan keagungan firman Allah Ta'ala yang selalu kita baca. Tetapi aku berharap semoga Rasulullah saw. dapat melihat dalam mimpi beliau, di mana Allah Ta'ala memperlihatkan kepada beliau bahawa aku sungguh-sungguh bersih. Maka demi Allah, belum lagi Rasulullah saw. meninggalkan tempat duduknya, dan belum seorang jua pun yang keluar dari rumah kami, Allah Ta'ala menurunkan wahyu kepada Nabinya. Terlihat Nabi saw. seperti orang yang keberatan memikul beban berat, sebagai biasanya bila wahyu sedang diturunkan kepada beliau, sehingga beliau bersimbah peluh. Ketika Wahyu telah selesai turun, Rasulullah saw. tertawa. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah: "Gembiralah, wahai 'Aisyah! Allah Ta'ala telah mengatakan bahawa engkau sungguh-sungguh bersih dari tuduhan itu." Lalu berkata ibu ku kepada ku, "Bangunlah engkau, nak! Mintalah maaf kepada beliau!" Jawab ku, "Demi Allah! Aku tidak perlu minta maaf kepada beliau. Aku hanya wajib memuji Allah, kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang menyatakan bahawa aku memang bersih dari tuduhan kotor itu. Wahyu itu tersebut turun dalam Al Quran, surat An Nur sebanyak sepuluh ayat: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong ini adalah dari golongan kamu juga (lihat An Nur, 24 : 11 20). Kata 'Aisyah selanjutnya, "Selama ini Misthah dibelanjai oleh (bapa ku) Abu 'Bakar Siddiq sebagai keluarga dekat bapa. Semenjak kes itu terjadi, bapa ku bersumpah akan menghentikan bantuannya kepada Misthah untuk selama-lamanya. Maka turun pula wahyu yang melarang penghentian bantuan itu: "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya....sampai dengan...Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni mu?" (An Nur, 24:22). Berkata Hibhan bin Musa, kata Abdullah bin Muharak. "Inilah ayat yang istimewa di dalam kitab Allah." Maka berkata Abu Bakar, "Demi Allah! Aku lebih suka mendapat ampunan Allah Ta'ala." Maka nafkah untuk Misthah diteruskannya kembali. Dan aku tidak pernah menghentikan nafkah untuk Misthah sepeninggal beliau."

15  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1354.
Dari Anas r.a., hadis ini diriwayatkan pula oleh Bahzi r.a., katanya: "Ketika iddah Zainab (bekas isteri Zaid) telah habis, maka bersabda Rasulullah saw. kepada Zaid (anak angkat Nabi saw.), "Hai, Zaid! Pergilah engkau melamar Zainab untukku!" Maka pergilah zaid menemui Zainab; didapatinya Zainab sedang mengaduk adunan kuih. Kata Zaid, "Ketika aku melihat Zainab, hatiku berdebar, sehingga tak kuasalah aku rasanya hendak melihatnya, untuk menyampaikan pesan Rasulullah saw. kepadanya. Oleh kerana itu ku belakangi dia sambil mundur dan berkata kepadanya, "Ya, Zainab! Aku diutus Rasulullah saw. melamarmu untuk beliau. Bagaimana tanggapanmu?" Jawab Zainab, "Aku belum dapat membuat suatu putusan sebelum beroleh petunjuk dari Tuhan ku." Lalu dia pergi ke tempatnya solat, melakukan solat istikharah. Sementara itu Quran turun kepada Nabi saw. (memerintahkan beliau supaya mengahwini Zainab, surat Al Ahzab, ayat 37). Lalu beliau langsung masuk ke rumah Zainab tanpa izin lebih dahulu, (kerana beliau telah dikahwinkan Allah seperti dinyatakan dalam ayat 37 surat Al Ahzab ) Kata Anas, "Aku masih ingat, ketika itu kami dijamu dengan roti dan daging. Ketika hari telah agak tinggi, para tamu sudah banyak yang pulang, hanya tinggal beberapa orang bercakap-cakap dalam rumah sesudah makan. Rasulullah keluar menuju ke rumah para isterinya yang lain dan aku mengikuti beliau dari belakang. Beliau memberi salam kepada mereka dan mereka menjawab salam beliau sambil bertanya, "Bagaimana halnya isteri baru anda?" Kata Anas, "Aku tidak ingat, apakah aku yang mengkhabarkan kepada Nabi saw., atau barangkali beliau yang memberitahukan kepada ku, bahawa tetamu-tetamu telah pulang semuanya. Maka Rasulullah saw. pulang kembali ke rumah Zainab, dan aku masuk pula bersama-sama beliau. Sampai di rumah beliau tutupkan tirai antaraku dengan beliau. Maka turun ayat hijab memberi pelajaran kepada kaum muslimin. Ibnu Rati' menambahkan dalam hadisnya: "Janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali bila kamu telah diizinkan masuk untuk makan, tanpa menunggu lama makanan terhidang hingga firman-Nya Allah tidak malu mengatakan yang benar." (Al Ahzab : 53).

16  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2393.
Dari Khabbab r.a. katanya : "Aku mempunyai piutang pada Ash bin Wail. Kerana itu aku mendatanginya untuk menagih." Jawab 'Ash kepada ku, "Aku tidak akan membayar sebelum engkau kafir dengan Muhammad." Jawab ku, "Aku sekali-kali tidak akan kafir kepadanya sampai mati, kemudian sampai berbangkit." Kata 'Ash bin Wail, "Aku juga akan dibangkit kembali sesudah mati, kerana itu akan ku bayar kelak kepada mu bila aku telah menemukan harta dan anak-anakku." Sesudah itu turunlah ayat ini : "Sudah tahukah kamu bahawa orang-orang yang kafir dengan ayat-ayat Kami berkata, pasti aku akan diberi harta dan anak " (Mariam, 19 : 77).

17  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1674.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya : "Ketika 'Umar bin Khaththab pada suatu ketika sedang berada di mimbar Rasulullah saw., beliau berkata: "Sesungguhnya Allah Ta'ala mengutus Nabi Muhammad saw. dengan kebenaran dan Allah menurunkan Kitab kepadanya. Di antara ayat yang diturunkan kepadanya, yang kita semua telah membaca, telah mempelajari dan telah memahamkannya, ialah ayat rejam. Rasulullah saw. telah melaksanakan hukuman rejam tersebut, begitu pula kita yang masih hidup sesudah beliau. Aku khuatir, jika semakin lama ada orang yang berkata, "Di dalam Quran tidak ada kita dapati ayat mengenai hukuman rejam." Lantas mereka sesat-kerana meninggalkan hukum wajib yang diturunkan Allah Ta'ala. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam Kitab Allah, wajib dijalankan atas orang lelaki dan perempuan yang berzina, apabila ada saksi, ada bukti seperti hamil, atau pengakuan."

18  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1427.
Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Ketika Nabi saw. mengasingkan diri dari para isteri beliau, aku masuk ke masjid dan ku lihat orang sedang memain-mainkan kerikil. Mereka semua sama berkata, "Rasulullah saw. menceraikan para isteri beliau." Kata 'Umar, "Aku ingin tahu kepastiannya sekarang juga." Lalu aku masuk ke rumah 'Aisyah dan berkata kepadanya, "Hai puteri Abu Bakar! Belum puas jugakah hati mu menyakiti hati Rasulullah saw"?" 'Aisyah menjawab dengan marah, "Aku tidak ada urusan dengan anda, hai anak Khaththab. Uruslah puteri anda sendiri!" Lalu aku masuk ke rumah Hafshah binti 'Umar, seraya berkata : "Hai, Hafshah! Belum puas jugakah hati mu menyakiti hati Rasulullah saw.? Engkaukan tahu, sesungguhnya Rasulullah saw. tidak mencintai mu. Kalau bukanlah kerana aku engkau telah diceraikan oleh beliau." Kerana itu Hafshah menangis sejadi-jadinya, lalu ku tanya dia, "Dimana Rasulullah?" "Beliau di gudang." jawab Hafshah. Lalu aku pergi ke gudang. Kebetulan aku bertemu dengan Rabah, pelayan Rasulullah saw. sedang duduk di pintu gudang melunjurkan kakinya ke sebuah kayu yang dijadikan tangga tempat Rasulullah saw. naik turun Ku panggil dia, "Hai Rabah! Mintakanlah aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw.!" Rabah menengok ke dalam dan kemudian kepada ku tanpa mengatakan sesuatu. Lalu ku panggil lagi dia, "Hai Rabah! Mintakanlah aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw." Rabah menengok ke dalam kemudian kepada ku tanpa berkata apa-apa. Kemudian ku keraskan suaraku memanggil Rabah, "Hai Rabah! Mintakan aku izin untuk bertemu dengan Rasulullah saw.!" Aku telah menduga, tentu Rasulullah saw. telah tahu bahawa kedatanganku ialah kerana Hafshah. "Demi Allah! Seandainya Rasulullah saw. menyuruh ku supaya memenggal leher Hafshah, nescaya kupenggal dia." Perkataan itu ku ucapkan dengan suara keras. Lalu Rabah memberi isyarat supaya aku naik. Aku langsung masuk menemui Rasulullah saw. Beliau sedang berbaring di tikar lalu aku duduk dekat beliau. Selagi beliau membetulkan sarungnya, aku melihat bekas tikar berkesan di rusuk beliau. Ku perhatikan sekeliling gudang itu. aku tidak melihat berisi apa-apa, kecuali selonggok gandum kira-kira segantang dan qarazh sebanyak itu pula terletak di sudut dinding dan sehelai kulit sedang tergantung. Itulah hanya isi gudang simpanan beliau. Melihat keadaan seperti itu, air mata ku mengalir bercucuran. lalu beliaU bertanya: "Kenapa anda menangis hai anak Khaththab?" Jawab ku. "Ya, Nabiyallah! Aku menangis kerana melihat tikar ini membekas di rusuk anda. Dan gudang ini tidak ada apa-apa yang tersimpan di dalamnya. Padahal gudang Kaisar Rumawi dan Kisra Persia berlimpah-limpah dengan buah-buahan dan serba cukup adanya. Sedangkan anda adalah Rasulullah dan pilihan Nya. Beginilah hanya keadaan gudang simpanan anda." Sabda Nabi saW., "Hai anak Khaththab! Tidak sukakah engkau, akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?" Jawab ku, "Aku suka, ya Rasulullah!" Ketika aku baru masuk, kelihatan di wajah beliau bahawa beliau sedang marah. Lalu aku bertanya, "Ya, Rasulullah ! Apakah yang menyulitkan Anda perihal para isteri Anda? Jika anda menceraikan mereka, Allah dan sekalian malaikat-Nya, Jibril, Mikail, aku sendiri dan Abu Bakar, serta sekalian orang yang beriman, akan tetap bersama Anda." Belum pernah aku berkata begitu kepada beliau, sambil memuji Allah dengan ucapan-ucapan, kecuali aku berharap semoga Allah membenarkan segala ucapanku itu. Maka turunlah ayat takhyir (pilihan) berikut ini: dan jika kamu berdua bantu membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah pelindungnya, begitu pula Jibril dan orang-orang mukmin yang soleh serta segala malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi menceraikan kamu, mungkin Tuhannya akan mengganti baginya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu semua. (At Tahrim : 4-5). 'Aisyah binti Abu Bakar dan Hafshah binti 'Umar, justru bekerjasama menentang para isteri Nabi yang lain-lain. Lalu kataku, "Ya, Rasulullah! Apakah Anda akan menceraikan mereka berdua?" Jawab beliau, "Tidak!" Kataku, "Ya, Rasulullah! Aku baru masuk ke masjid, ku lihat kaum muslimin mempermainkan kerikil, sambil mereka berkata, "Rasulullah menceraikan para isterinya. Apakah aku harus turun menjelaskan kepada mereka bahawa Anda tidak menceraikan mereka?" Jawab Rasulullah saw., "Silakan, jika engkau mau!" Aku sentiasa berbicara dengan beliau, sehingga hilang kesan marah dari wajahnya, berganti dengan senyuman. Dan beliau mempunyai deretan gigi yang sangat bagus sehingga menambah indah senyumannya. Kemudian Nabi saw. turun, dan aku pun turun berpegangan melalui tangga pohon kurma. Sedangkan beliau turun seperti berjalan di bumi saja layaknya tanpa berpegangan. Aku berujar kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Anda mengasingkan diri di kamar gudang itu telah dua puluh sembilan hari." Jawab beliau, "Memang bulan ini hanya 29 hari." Sesudah itu aku berdiri di pintu masjid menyiarkan pengumuman sekeras-kerasnya, bahawa Rasulullah saw. tidak pernah menceraikan para isteri beliau. Maka turunlah ayat sebagai berikut : "Dan apabila datang kepada mereka suatu berita yang menyenangkan dan menakutkan, mereka langsung menyiarkannya. Padahal bila mereka menyerahkan kepada Allah dan pegawai-pegawai yang berkuasa di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin suatu kepastian tentang kebenarannya akan mengetahuinya dari mereka (An Nisa' : 83). Justru akulah yang mencek kepastian berita itu. Kemudian Allah menurunkan pula ayat takhyir (Al Ahzab : 28-29).

19  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0772.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika Jibril sedang duduk di samping Nabi saw., tiba-tiba kedengaran suatu bunyi seperti pintu sedang dibukakan orang. Lalu diangkatnya kepalanya, seraya berkata : "Nah! Inilah pintu langit dibukakan hari ini, di mana sebelumnya tidak pernah dibuka melainkan baru hari ini." Dari pintu itu turun malaikat. Kata Jibril, "Inilah malaikat turun ke bumi, di mana dia tidak pernah turun sebelumnya, melainkan baru hari ini." Setelah malaikat itu memberi salam, lalu dia berkata, "Gembirakanlah umatmu dengan dua cahaya yang kedua-duanya hanya diturunkan kepada mu, dan tidak pernah diturunkan kepada para Nabi sebelum kamu, iaitu: surat Al Fatihah dan ayat-ayat penutup surat Al Baqarah (ayat: 284 - 286). Tidak satu huruf pun yang anda baca dari keduanya, melainkan akan diberikan pahalanya kepada anda."

20  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0477.
Dari Al Barra' bin 'Azib r.a., katanya: "Aku solat bersama-sama Nabi saw. menghadap ke arah Baitul Maqdis selama enam belas bulan. Iaitu sehingga turun sebuah ayat dalam surat Al Baqarah: " dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya" (Al Baqarah : 144) Sesudah ayat itu turun, iaitu ketika Nabi saw. selesai solat, ada searang lelaki anggota jemaah berpergian melalui sekelompok orang Ansar sedang solat. Lalu dikhabarkannya kepada mereka mengenai turunnya ayat tersebut. Kerana itu, serta merta mereka memalingkan muka mereka ke arah Bait (Kaabah)."